Monday, September 15, 2008

Sirkit Remaja lahir bakat sukan boling


Jumaat, 12 September 2008 | Edisi Selangor & KL | Nazrol Jamaludin


SHAH ALAM - Sirkit Remaja Kebangsaan Sport Excel-Milo-MTBC 2008 yang berakhir 30 Ogos lalu dilihat sebagai medan dalam melahirkan bakat boling secara berterusan untuk negara.

Sirkit Remaja Tenpin Boling SportExcel tajaan bersama SportExcel, Milo, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) telah bermula sejak 1994 lagi dan sejak itu, seorang demi seorang bintang sukan boling dilahirkan seperti Shalin Zulkifli, Zulmazran Zulkifli, Esther Cheah, Adrian Ang dan lain-lain pernah mengambil bahagian dalam sirkuit ini.

Penyelaras pertandingan, Tay Li Neo menjelaskan, walaupun terdapat sedikit penurunan daripada jumlah peserta pada tahun ini, secara keseluruhannya penganjuran kejohanan tahun ini dilihat berjaya dan menunjukkan peningkatan.

“Secara keseluruhannya, purata jatuhan pin yang dikumpul menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu, ini menunjukkan peserta-peserta yang menyertai siri ini mempunyai potensi yang baik.

“Selain itu, penganjuran kategori bawah 12 tahun yang pertama kali diadakan juga mencapai matlamat berdasarkan persembahan yang ditunjukkan peserta,” katanya.

Menurutnya, kejayaan sirkit ini juga menunjukkan program pembangunan yang dijalankan di setiap negeri juga berjalan dengan sangat baik.

“Program pembangunan yang dijalankan di setiap negeri amat baik berdasarkan dengan persembahan pemain-pemain dan ini secara tidak langsung menjadikan Malaysia tidak ketandusan pemain-pemain berbakat di dalam sukan boling.

“Ada juga pemain dari negara luar menyatakan di mana program pembangunan sukan boling di Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia,” katanya.

Selain itu, Tay Li Neo juga menjelaskan dengan adanya pertandingan ini, pemain-pemain di peringkat negeri mempunyai satu pertandingan yang tetap untuk mereka bertanding.

“Wakil dari MTBC dan MSN juga akan memantau pemain-pemain untuk dinilai dan menjalani ujian pemilihan untuk pasukan remaja kebangsaan,” katanya.

Secara keseluruhannya, terdapat 11 sirkit termasuk sirkuit Grand Prix Finals yang dipertandingkan sepanjang tahun di mana lapan sirkuit di Semenanjung Malaysia, dua sirkit di Sabah dan Sarawak dan satu sirkuit Grand Prix.

Sirkit Grand Prix adalah di mana pemain-pemain terbaik daripada Semenanjung dan Sabah dan Sarawak berkumpul untuk menentukan juara keseluruhan di dalam kategori masing-masing.

0 comments: