Sunday, July 20, 2008

Bakat Sonia mula menyinar


Julai 20, 2008 | Simon Soloman




TIADA siapa yang memberi perhatian kepada bakat Sonia Teoh Jia Yun sehinggalah dia membuktikannya pada Kejohanan Boling Sirkit Remaja IV SportExcel-Milo minggu lalu.

Pada kejohanan tiga hari yang berlangsung di Ampang Superbowl, Seremban itu, Sonia mencipta kejutan apabila muncul juara kategori perempuan.

Kehebatan atlet berusia 15 tahun ini mula terserlah sejak dari saingan separuh akhir lagi apabila mudah menewaskan Sharifah Marissa dari Selangor dengan perbezaaan 15 jatuhan pin.

Selepas itu, rentak bergaya Sonia diteruskan pada perlawanan akhir apabila dia mencatat 345 jatuhan pin untuk menewaskan peserta Perak, Norsyazana Rusli.

"Saya tidak jangka akan menang kerana kejohanan ini cukup sengit dan disertai oleh pemain-pemain yang jauh lebih berpengalaman daripada saya," jelas gadis periang ini.

"Begitupun, saya hanya tenangkan diri, tidak tertekan dan fokus kepada setiap permainan saya tanpa diganggu pihak lawan."

Mengimbau pembabitannya dalam sukan boling, Sonia mengakui ia adalah disebabkan oleh minat.

Hakikatnya, Sonia mengakui dia menginginkan untuk mengikut jejak langkah kakaknya, Tania Teoh Si Yun yang bergiat aktif dalam sukan badminton.

Namun, Sonia nekad untuk menceburi sukan boling hanya semata-mata kerana minat dan ia bermula dengan menyertai kelab boling di Sekolah Kebangsaan Convent Infant Jesus I di Melaka.

Bagi memudahkan proses latihan, Sonia yang mula bermain boling pada usia sebelas tahun kini dilatih jurulatih, Chong Chee Kim dengan menjadikan Ampang Superbowl di Mahkota Parade sebagai lokasi latihan.

"Saya terima banyak galakkan dari ahli keluarga khususnya kakak saya yang merupakan bekas pemain skuad pelapis badminton kebangsaan," jelas Sonia.

"Bagi saya, boling adalah sukan yang mencabar yang memberi latihan mental dan menolong saya melepaskan tekanan.

"Sasaran saya kini adalah untuk menyertai pasukan remaja kebangsaan dan kejayaan saya di Seremban minggu lalu adalah langkah pertama saya ke arah impian itu."

Sementara itu, pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Ipoh pada Mei lalu, Sonia berjaya membawa pulang pingat perak dalam acara masters perempuan Bawah 15.

Dia juga turut menyumbang gangsa dalam acara beregu menerusi gandingannya bersama Zureen Nurasuhaz.


KIRI: Sonia (tengah) muncul juara kategori perempuan pada Kejohanan Boling Sirkit Remaja IV di Ampang minggu lalu.

Sesuatu yang menarik, Sonia bukan sahaja hebat di gelanggang boling, sebaliknya dia merupakan pelajar pintar dan pernah memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR pada tahun 2005.

"Sonia adalah pelatih yang menurut semua arahan saya, menghadiri semua latihan mengikut masa dan konsisten dalam permainannya," jelas jurulatih, Chee Kim.

"Dia mempunyai keazaman dan disiplin untuk menjadi seorang juara."

Dalam pada itu, pengarah kejohanan Sirkit Remaja, Mellisa Tay mengucapkan tanda penghargaan kepada penaja utama iaitu SportExcel dan Milo.

"Untuk sirkit ini, kami adakan sistem baru di mana pada peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir, pemenang ditentukan menerusi sistem kalah mati mengira jumlah jatuhan pin dua permainan," jelas Mellisa.

"Pada sirkit keenam ini, seramai 250 pemain beraksi sambil sirkit ketujuh pula akan diadakan di Kuala Lumpur bermula 1 hingga 3 Ogos depan."

Menurut Mellisa lagi, sirkit kelapan akan diadakan di Melaka (15-17 Ogos) sebelum Grand Prix Akhir di Kuantan pada 27 hingga 30 Ogos.

0 comments: