Saturday, July 19, 2008

Tenpin boling lahir pemain muda berbakat


Sabtu, 19 Julai 2008 | Edisi Melaka dan N.Sembilan

SEREMBAN - Sirkit Remaja Tenpin Boling SportExcel diadakan baru-baru ini di Ampang Superbowl, Seremban Parade melibatkan penyertaan pemain-pemain muda terbaik seluruh Semenanjung Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak yang berkumpul untuk menentukan juara keseluruhan dalam kategori masing-masing.

Terdapat 11 sirkit termasuk Sirkit Grand Prix Finals yang dipertandingkan sepanjang tahun, lapan sirkit di Semenanjung Malaysia, dua sirkit di Sabah dan Sarawak serta satu sirkit Grand Prix.

Pada tahun ini, Sirkit Remaja Kebangsaan Tenpin Boling telah memuatkan kategori bawah 12 tahun tetapi di Sirkit Negeri Sembilan kategori bawah 12 tahun tidak dipertandingkan.

Sirkit ini menampilkan pemain-pemain di bawah umur 19 tahun yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu Boys Open, Girls Open, Boys Graded dan Girls Graded.

Kategori Open dan Graded ditentukan oleh purata tahunan pemain.

Dalam setiap kategori, pemain akan bermain lapan permainan dalam pusingan pertama.

Seterusnya, 48 Boys Graded, 28 Girls Graded, 20 Boys Open dan 16 Girls Open yang mempunyai jatuhan pin yang tertinggi akan layak ke pusingan kedua di mana mereka akan bermain dalam enam permainan.

Skor enam permainan ini akan dicampurkan dengan lapan permainan dalam pusingan pertama.

Setelah dicampurkan skor pusingan pertama dan pusingan kedua, maka lapan pemain yang mempunyai jumlah skor tertinggi akan melangkah ke pusingan Knock-Out Round.

Dalam pusingan Knock-Out Round peringkat suku akhir, pemain bermain sebanyak dua permainan secara head-to-head dan pemain yang mengumpul jumlah jatuhan pin tertinggi dalam dua permainan akan dikira pemenang dan mara ke peringkat separuh akhir.

Muhd Firdaus pemain muda daripada Kuala Lumpur telah memenangi kategori Boys Graded menewaskan Muhd Shahir dari N.Sembilan, Yusof Abdul Raof dari Kuala Lumpur pula memenangi Boys Open manakala bagi kategori Girls Graded dan Girls Open dimenangi oleh Sonia Teoh dari Melaka dan Tengku Aimi Laily dari Kedah.

Sirkit ini ditaja SportExcel, MILO, Sukan Teras Majlis Sukan Negara dan Kongres Tenpin Boling Malaysia.

0 comments: