Friday, August 8, 2008

Selangor kuasai dua acara Sirkit Remaja Tenpin Boling SportExcel


Jumaat, 08 Ogos 2008 | Edisi Selangor & KL | Nazrol Jamaludin

KUALA LUMPUR - Remaja Tenpin Boling SportExcel, Sirkit Kuala Lumpur yang berlangsung pada 1 hingga 3 Ogos lepas di Megalanes KL, Endah Parade, Sri Petaling menyaksikan Perak dan Selangor unggul apabila masing-masing memenangi dua emas daripada enam acara yang dipertandingkan.

Selangor mengungguli kategori bawah 12 tahun apabila memenangi kedua-dua acara melalui Natasya Roslan dalam kategori wanita dan Wan Nadzmi Fikri dalam kategori lelaki.

Bagi Natasya, kemenangan ini juga merupakan kemenangan keempat daripada empat pusingan untuk kategori bawah 12 tahun selain sebelum ini memenangi emas di kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dalam acara All-Events dan Masters.

Kemenangan ini juga menjadikan Natasya terus mendahului pungutan mata keseluruhan dengan mengumpul 320 mata sekaligus menjadikannya calon pilihan memenangi Grand Prix Akhir yang akan berlangsung di Megalanes Kuantan, hujung bulan ini.

Kategori terbuka lelaki menyaksikan dua peserta Kuala Lumpur bersaing sesama sendiri untuk merebut gelaran juara apabila Mohd Amirrul Afif menewaskan Yusof Abdul Raof dengan 410-376 jatuhan pin dan ini merupakan kemenangan keduanya tahun ini selain sedang mendahului kedudukan keseluruhan dengan 670 mata.

Sementara itu, Perak mengungguli kedua-dua kategori wanita apabila Syaidatul Afifah Badrul Hamidi mengungguli acara Wanita Terbuka dan Norsyazana Rusli bagi kategori Graded Wanita.

Menurut Syaidatul, dia tidak menyangka berjaya menewaskan Cheryl Cheong dengan keputusan 438-410 jatuhan pin.

“Saya tidak menjangkakan akan menang memandangkan selepas kejohanan Sukan Malaysia, saya tidak berlatih kerana menumpukan sepenuhnya masa untuk pelajaran saya,” katanya.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Setiausaha Kehormat Kongres Tenpin Boling Malaysia, Sidney Tung dan Penasihat Teknikal Skuad Elit Kebangsaan Richard Shockley.

Hadiah kategori bawah 12 tahun pula telah disampaikan Juara Kejohanan Remaja Dunia acara berpasukan, Adrian Ang, Aaron Kong, Muhd Nur Aiman dan Syafiq Ridhwan.

0 comments: